Saifuddin tanding No.2 PKR

KOTA BHARU 1 April – Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan akan datang.

Katanya, beliau komited untuk membawa pendekatan kerja berpasukan dan akan menghargai sumbangan semua ahli parti.

Selain itu, beliau juga akan meneruskan usaha membantu institusi presiden yang kini disandang Anwar Ibrahim dan sebelumnya turut membantu Dr Wan Azizah Wan Ismail mengukuh dan mempersiapkan parti menghadapi pilihan raya umum (PRU).

Saifuddin berkata, beliau juga mengalu-alukan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bertanding jawatan Timbalan Presiden.

“Rafizi adalah aset parti kerana beliau seorang yang kreatif, intelektual, tinggi daya juang dan dihormati rakan serta lawan.

“Persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan dalam perlembagaan parti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Rafizi Ramli mengumumkan hasrat kembali aktif dalam arena politik negara dan mahu merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan akan datang.

Keputusan bekas Ahli Parlimen Pandan itu dibuat selepas melihat PKR dan gabungan parti pembangkang utama dalam Pakatan Harapan (PH), kini menjadi parti ketiga dan gagal memikat pengundi atas pagar.

Related posts

Leave a Comment