352,469 pekerja Indonesia di Malaysia

PUTRAJAYA 30 Mac – Sehingga bulan lalu, seramai 352,469 pekerja warga Indonesia bekerja di Malaysia dengan majoritinya di sektor perladangan, kata Menteri Sumber Manusia,  M Saravanan.

Katanya, daripada jumlah itu, 98,421 bekerja di sektor perladangan, diikuti sektor perkilangan 67,217, pembinaan 65,660, pekhidmatan domestik 58,438, pertanian 43,953 dan perkhidmatan 18,779.

Memorandum Persefahaman berhubung Penggajian dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia di Malaysia (MoU PDI) ditandatangani untuk kali pertama pada 2006 dan tamat tempoh pada 2011 dan kemudiannya diperbaharui sehingga 2016.

Bagaimanapun katanya, selepas tempoh itu, MoU PDI itu tidak dapat diperbaharui berikutan ketiadaan kata sepakat antara kedua-dua negara.

“Bagaimanapun, saya akan menandatangani MoU PDI dengan rakan sejawat, Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah di Jakarta pada Jumaat ini (1 April),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis menandatangani MoU PDI itu akan disaksikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo.

Related posts

Leave a Comment