40,718 lagi dapatkan dos penggalak

PUTRAJAYA 30 Mac – Sebanyak 40,718 individu tampil mendapatkan dos penggalak menjadikan 15,711,005 individu dewasa atau 66.8 peratus daripada populasi kumpulan itu telah menerima dos penggalak setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, sejumlah 22,951,201 atau 97.5 peratus daripada populasi dewasa melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,227,197 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,850,360 individu atau 91.6 peratus daripada kumpulan itu melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,947,122 atau 94.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, sebanyak 4,118 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,

tampil mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids). 

Ini menjadikan sejumlah 1,319,899 individu atau 37.2 peratus daripada populasi kanak-kanak itu telah menerima vaksin Covid-19.

Semalam, sebanyak 47,608 dos vaksin diberikan melibatkan 5,296 suntikan pertama, 1,594 suntikan lengkap dan 40,718 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini 68,795,057 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 64 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Perak mencatatkan kematian tertinggi sebanyak 20 kes diikuti Kedah (lapan), Selangor (tujuh), Pulau Pinang (enam) dan Johor (lima). 

Negeri Sembilan dan Sarawak masing-masing mencatatkan empat kes kematian, Kelantan dengan tiga kes, Melaka, Pahang dan Sabah masing-masing dua kes manakala satu kes dilaporkan di Terengganu.

Related posts

Leave a Comment