Rapat sejadah, tanpa sentuh jemaah

ISKANDAR PUTERI 28 Mac – Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah dalam fasa peralihan endemik bermula Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Khalid, berkata perkara itu antara yang diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Katanya, jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap dua dos suntikan vaksin.

Program membudayakan al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kuliah dhuha, kuliah Zuhur dan Jumaat, kelas takmir, kelas al-Quran, taklimat, kursus, forum, majlis zikir,  selawat, wirid dan tarikat dibenarkan dengan tidak melebihi tempoh dua jam.

Bagaimanapun aktiviti yang membabitkan bermalam ditangguhkan sehingga suatu arahan lain yang akan dimaklumkan.

Aktiviti memasak dalam kawasan masjid dan surau, tidak dibenarkan manakala majlis jamuan di dalam masjid dan surau dilaksanakan secara berbungkus sahaja.

Jamuan berhidang dibenarkan sekiranya terdapat program rasmi yang telah diprogramkan dengan tidak melebihi 50 jemaah.

“Majlis ucapan dan penyerahan bantuan kepada asnaf dalam kawasan masjid dan surau dibenarkan. Tetapi majlis ucapan dan penyerahan bantuan yang dianjurkan oleh parti politik atau wakil rakyat dalam kawasan masjid dan surau tidak dibenarkan, kecuali Menteri Besar Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor sahaja,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Fared berkata, bagi solat tarawih, hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan solat sunat witir tiga rakaat.

Katanya, imam yang bertugas digalakkan membaca surah dalam juzuk yang ke-30, dan imam jemputan solat sunat tarawih hendaklah yang telah mendapat surat kebenaran dari Kadi Daerah.

“Bagi memelihara kesucian agama Islam, umat Islam tidak dibenarkan menganjur atau menghadiri majlis berbuka puasa di rumah ibadat agama bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata, semua jemaah masjid dan surau perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk memakai pelitup muka dan mengimbas MySejahtera.

“Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor hendaklah membuat pemantauan SOP masjid dan surau dan mengarahkan ia ditutup jika didapati melanggar SOP,” katanya.

Related posts

Leave a Comment