Bilal, khatib dikecuali pelitup muka

KUCHING 28 Mac – Bilal dan khatib di negeri ini dikecualikan daripada memakai pelitup muka ketika mereka menjalankan tugas melaungkan azan atau membaca khutbah di masjid dan surau.

Majlis Islam Sarawak (MIS) yang menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu itu  turut mengecualikan penceramah yang menyampaikan kuliah atau forum di masjid dan surau dengan penjarakan fizikal yang wajar.

Dalam kenyataannya, MIS bagaimanapun mengingatkan pemakaian pelitup muka untuk jemaah atau individu lain di kawasan masjid dan surau adalah diwajibkan.

Pada 22 Mac lalu, MIS mengumumkan umat Islam di negeri ini dibenarkan menunaikan solat Jumaat, solat fardhu, solat sunat, khutbah dan wirid selepas solat di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April.

Semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti mengaji, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, qiamullail, sahur, iktikaf, khatam al-Quran dan lain-lain adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.

Pelitup muka hendaklah dipakai sepanjang masa dan wajib mendaftar kehadiran melalui Mysejahtera sebelum masuk ke dalam masjid dan surau.

Jemaah juga digalakkan membawa sejadah atau alas sujud sendiri dan jamuan adalah dibenarkan.

Related posts

Leave a Comment