KUALA LUMPUR 9 Julai – Dr Mahathir Mohamad, mengajak semua pihak agar tidak melupakan kekejaman di Rakhine, Myanmar di mana etnik Rohingya beragama Islam ditindas di negara yang sudah berabad lamanya menjadi tempat tinggal mereka.i
Kekejaman yang menimpa rakyat Palestin tanpa kesudahan sampai sekarang sehingga mengundang keprihatinan ramai masyarakat dunia tidak seharusnya menenggelamkan rasa sama terhadap etnik Rohingya, yang turut berdepan penderitaan di tanah air sendiri.
Katanya, etnik Rohingya sewahjarnya mempunyai hak di negara itu, akan tetapi sebaliknya pula berlaku apabila mereka tidak dilayan sama rata sebagai warganegara sehingga terpaksa hidup terasing di negara sendiri.
“Mengapa orang melakukan ini kepada sesama manusia? Bukankah lebih baik jika tentera Myanmar melayan warga Rohingya seperti warganegara lain, berhak mendapat layanan biasa.
“Kita semua prihatin terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza dan kita harus prihatin. Tetapi kita tidak boleh melupakan penderitaan Rohingya. Ramai yang mati atas bot yang mereka naiki berharap mendapat suaka di negara yang lebih mesra, karam di laut.
“Malaysia telah menyediakan suaka kepada ramai pelarian. Tetapi negara lain juga harus membantu pelarian Rohingya. Isu mereka sepatutnya harus selesai di beberapa negara, ” katanya dalam kenyataan di platform X hari ini.
Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa kerajaan Myanmar yang dipimpin tentera membenarkan etnik Rohingya pulang ke kampung mereka di negara itu
Tegasnya itu saja tindakan paling penting perlu dilakukan oleh kerajaan Myanmar di samping memberi layanan sama seperti warganegara lain.
“Penganut Buddha biasanya bertolak ansur dengan penganut agama lain. Di Myanmar bagaimanapun mereka tidak bertolak ansur terutamanya dengan orang Islam. Orang Rohingya beragama Islam.
Mereka telah tinggal di kawasan Myanmar selama berabad-abad. Mereka tidak memudaratkan kumpulan etnik lain di Myanmar. Sudah tentu, mereka tidak menentang kerajaan Myanmar. Tidak seperti kumpulan etnik lain, mereka tidak berjuang untuk menentukan bangsa mereka sendiri.
“Namun tentera Myanmar telah menyerang kampung dan bandar mereka, membunuh mereka, membakar rumah mereka. Mereka terpaksa melarikan diri ke negara jiran Bangladesh,” katanya.
