774 kes baharu di Brunei Darussalam

BERAKAS 26 Mac – Jumlah kematian akibat Covid-19 di Brunei Darussalam meningkat kepada 91 orang apabila satu lagi kematian direkodkan hari ini, kata Menteri Kesihatan Dr. Md. Isham Jaafar.

Katanya, dua kematian direkodkan hari ini tetapi hanya seorang dikategorikan meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Bercakap pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Brunei Darussalam, hari ini, beliau berkata terdapat 10 kes kategori 4 dan satu kes kategori 5 dilaporkan.

Sebanyak 774 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam yang membawa kepada jumlah keseluruhan meningkat kepada 130,611 kes.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu itu, 671 adalah hasil pengesanan Ujian Pantas Antigen (ART) yang dimuat naikkan ke aplikasi BruHealth.

Sebanyak 103 kes lagi adalah daripada 1,238 Ujian Makmal RT-PCR yang dilakukan dalam tempoh masa 24 jam yang lalu.

Sementara itu, sebanyak 2,344 kes disahkan sembuh pada hari ini yang membawa kepada jumlah pesakit pulih sebanyak 122,905 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 7,504.

Kadar pengisian katil di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ pula adalah sebanyak 3.3 peratus dan sebanyak 133 kes aktif sedang menerima rawatan di Pusat-pusat Pengasingan dan hospital.

Sebanyak 7,371 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Bagi Program Vaksinasi Kebangsaan setakat 24 Mac 2022, sebanyak 60.6 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin manakala lebih 94 peratus mendapat satu dan dua dos vaksin.

Related posts

Leave a Comment