Sinovac: 2 juta bakal hilang status lengkap

KUALA LUMPUR 24 Mac – Berbaki seminggu lagi, menjelang 1 April, sekitar dua juta penerima dua dos vaksin Covid-19 keluaran Sinovac di Malaysia berisiko kehilangan status lengkap vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata unjuran itu berdasarkan jumlah semasa penerima dos primer vaksin Sinovac yang masih belum mendapatkan dos penggalak.

Justeru, beliau menggesa semua penerima vaksin Sinovac untuk mendapatkan segera dos penggalak bagi mengekalkan status lengkap vaksinasi masing-masing.

“Berdasarkan data terkini, seramai 2.09 juta penerima dos primer vaksin Sinovac belum menerima dos penggalak.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengunjurkan mungkin akan ada dua juta penerima vaksin primer Sinovac yang berisiko hilang status lengkap vaksinasi mereka pada 1 April,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya unjuran KKM mengenai jumlah penerima dua dos vaksin Sinovac yang bakal kehilangan status lengkap vaksinasi kerana enggan mendapatkan dos penggalak.

Khairy memaklumkan keperluan untuk penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak bukan sahaja untuk memudahkan urusan seharian di Malaysia, sebaliknya ia turut menjadi keperluan beberapa negara luar seperti Singapura.

“Saya ada bincang perkara ini dengan Menteri Kesihatan Singapura, dan Singapura juga menetapkan status lengkap vaksinasi untuk penerima Sinovac adalah tiga dos,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, Khairy dilaporkan berkata, semua individu berusia 60 tahun ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.

Bagaimanapun, tempoh itu dilanjutkan sehingga 31 Mac.

Related posts

Leave a Comment