Bella punyai keyakinan diri

SEREMBAN 23 April – “Bella semakin sihat dan sudah banyak berubah. Beliau sudah mempunyai keyakinan diri yang tinggi,” kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob selepas meluangkan masa menyantuni remaja Sindrom Down berusia 13 tahun itu.

Bella ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, sejak Julai 2021.

“Daripada pemerhatian saya tadi, Bella dalam keadaan normal dan tiada lagi gangguan emosi seperti mana ketika dia mula-mula masuk. Malah kecederaannya pun sudah pulih sedia kala,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, ketika dibawa melawat ke tiga asrama, Bella yang menunjukkan kepadanya asrama berkenaan malah dia turut memperkenalkan beliau dengan rakan-rakan yang lain.

Ismail Sabri berkata, terdapat banyak perubahan yang ketara pada diri Bella dan beliau berterima kasih kepada JKM dan pihak yang terbabit menjaga remaja berkenaan.

“Terdapat 80 orang kanak-kanak dan remaja yang diletakkan di bawah jagaan pusat perlindungan ini ketika ini dan semua mereka dijaga dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, masyarakat perlu serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan terhadap kes membabitkan remaja berkenaan.

Beliau berkata, masyarakat seharusnya tidak memberi banyak komen kerana ia boleh menimbulkan subjudis jika terus dibincangkan secara meluas.

“Perkara ini sudah dibawa ke mahkamah, jadi kalau kita terlalu memberi komen boleh dianggap sebagai menganggu perjalanan mahkamah, boleh bersifat subjudis terhadap perjalanan perbicaraan.

“Saya nasihatkan kita beri kepercayaan penuh kepada pihak mahkamah kendalikan kes. Ramai orang kata kenapa kerajaan tak sedia banyak peguam….tidak timbul isu kenapa kerajaan tidak hantar peguam ramai.

“Pendakwa raya atau Jabatan Peguam Negara saja yang mewakili kerajaan,” tegasnya mengulas reaksi netizen di laman sosial terhadap kes berkenaan.

Related posts

Leave a Comment