Siapa sembilan wanita terpilih DAP

PADA pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Parti (JTP) Kongres Kebangsaan DAP Ke-17 baru-baru ini, satu pembaharuan dilakukan apabila sembilan daripada 30 kerusi diperuntukkan khusus untuk wanita.

Daripada 18 yang menawarkan diri, lapan wanita berjaya meletakkan diri mereka dalam kelompok 30 teratas manakala seorang berada di ranking ke-35.

Sembilan wanita yang terpilih itu merupakan gabungan wakil rakyat yang sama ada sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Negara.

Mereka yang berlatar belakang pelbagai pengalaman dan profesion juga adalah muka lama dan orang baharu dalam politik, dengan semuanya di bawah usia 60 tahun dan termuda adalah 33 tahun.

Turut menarik perhatian, penampilan anak perempuan Lim Kit Siang sebagai salah seorang anggota JTP dan wanita serta Melayu tunggal yang berjaya dipilih melalui undi bagi menduduki barisan kepemimpinan sesi 2022-2025 itu.

Dalam kalangan calon yang diketengahkan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, 58 yang juga bekas Menteri Industri Utama mendapat kepercayaan tertinggi dengan menduduki ranking keempat.

Beliau memperoleh 1,373 undi selepas  Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (1,782 undi), Ahli Parlimen Tanjong yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (1,641 undi) dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook (1,625).

Teresa Kok yang menjadi wakil rakyat sejak tahun 1999 pernah mencatatkan sejarah mendapat majoriti undi tertinggi pada pilihan raya umum (PRU) dan kini dilantik sebagai salah seorang Naib Pengerusi DAP.

Ini diikuti Ahli Parlimen Segambut, Yeoh Tseow Suan, 43 atau lebih dikenali sebagai Hannah Yeoh yang memperoleh 1,346 undi.

Seorang yang berpengalaman, bekas peguam dan pengurus acara ini pernah menjadi Speaker DUN Selangor dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Subang Jaya selama dua penggal sebelum ke Parlimen.

Semasa di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), Hannah Yeoh dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan selepas pemilihan lalu, beliau  dilantik sebagai Penolong Setiausaha Publisiti.

Di ranking ke-15, anggota Dewan Negara Lim Hui Ying, 57 menjadi wanita ketiga memperoleh undi yang tinggi iaitu 1,155.

Adik kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng ini mula bergiat aktif semasa PRU 1999 bagi membantu kempen bapanya Lim Kit Siang yang bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bendera dan DUN Kebun Bunga.

Mungkin pada PRU akan datang, wanita ini boleh diketengahkan sebagai calon di peringkat DUN atau Parlimen lebih-lebih lagi ‘mengisi’ kekosongan bapanya yang tidak akan bertanding lagi.

Dari Sarawak, Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng 41, berada di ranking ke-17 dengan memperoleh 1,119 undi.

Beliau adalah wanita pertama dari pembangkang Sarawak yang dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 2013 selepas mengalahkan veteran SUPP (BN), Tiong Thai King yang mewakili kerusi itu selama lima penggal.

Di bawah kerajaan PH, lukusan University of Strathclyde, Glasgow Scotland itu pernah menjadi Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), menggantikan Lee Lam Thye.

Seorang lagi wanita JTP yang tidak asing lagi dalam kalangan wakil rakyat di Parlimen adalah Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, 41 yang memperoleh 1,071 undi dan menduduki ranking ke-19.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan ini pernah menjadi Ahli Parlimen Serdang dan mencetuskan kontroversi dengan kehadirannya di Surau Al-Huda Kajang dan berucap kepada jemaah di dewan solat.

Pada PRU lalu, beliau mengalahkan calon BN (MCA) dan Pas dengan majoriti 32,748 undi dan dalam pemilihan parti baru-baru ini diberi kepercayaan sebagai Setiausaha Publisiti.

Di ranking ke-24 adalah ADUN Ketari, menjadi wakil tunggal Melayu DAP, iaitu Young Syefura Othman, atau lebih dikenali sebagai Rara yang memperoleh 991 undi.

Wanita berusia 33 tahun ini adalah ahli seumur hidup DAP, mula bertanding ketika usia 28 tahun, berjaya mengalahkan calon BN dan Pas dengan majoriti 9,873 undi.

Beliau pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Selain dipilih menganggotai JTP, Rara juga sebelum itu memenangi jawatan Naib Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY) pada pemilihan sebelum itu. Beliau mengalahkan dua calon lain.

Turut dipilih menganggotai JTP adalah Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani A/P Patto, 43 yang memperoleh 978 undi di ranking ke-25.

Anak veteran DAP, mendiang P.Patto itu memenangi PRU 2013 dengan mengalahkan calon BN (Gerakan), PCM dan Bebas dan pada PRU 2018 menang dengan majoriti 33,553 mengalahkan calon BN-Gerakan dan Pas dan PFP.

Selain dipilih sebagai JTP, beliau yang banyak membawa isu-isu wanita turut dilantik sebagai Penolong Setiausaha Antarabangsa DAP.

Seorang lagi wanita dari Johor, Wong Shu Qi, 39, Ahli Parlimen Kluang pula berada di ranking ke-30 dengan memperoleh 939 undi.

Pada PRU lalu, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 23,053 undi mengalahkan calon BN-MCA dan Pas. Sebelum itu beliau juga pernaj menjadi ADUN Senai, Johor.

Selepas dipilih menganggotai JTP, lulusan Sarjana Pentadbiran Awam, Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (NUS Singapura) itu dilantik sebagai Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Seorang lagi yang termasuk dalam senarai sembilan wanita JTP adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Sabah, Jannie Lasimbang, 59.

Bekas wartawan itu memperoleh 877 undi berada di ranking ke-35,

pernah menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2010-2013. Kini dilantik sebagai Setiausaha Antarabangsa.

Pada PRU lalu, beliau memperoleh 15,052 undi dalam saingan tujuh penjuru dalam PRN ke-16 dengan majoriti 13,163 undi mengalahkan calon  BN (MCA), Gagasan, PBS, LDP, PCS dan Bebas.

Berdasarkan kedudukan sekarang, sembilan wanita ini mempunyai laluan mudah untuk terus dicalonkan sebagai calon PRU.

Related posts

Leave a Comment