Kes harian Brunei Darussalam turun

BERAKAS 24 Mac – Jumlah kes harian Covid-19 turun di bawah 1,000 kes hari ini dengan merekodkan 775 kes berbanding 1,006 semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 129,081.

Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar berkata, terdapat satu kematian direkodkan dan tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan Covid-19.

Bercakap pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Brunei Darussalam, beliau berkata tetdapat lapan kes dalam kategori 4 dan tiga kes dalam kategori 5.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, 627 adalah hasil pengesanan Ujian Pantas Antigen (ART) yang dimuat naikkan ke aplikasi BruHealth, manakala 148 daripada 1,965 Ujian Makmal RT-PCR yang dilakukan dalam tempoh masa 24 jam yang lalu.

 Sementara itu, sebanyak 1,919 kes disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh meningkat kepada 118,980, manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 9,901 kes.

 Kadar pengisian katil di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ pula adalah sebanyak 4.2 peratus dan sebanyak 155 kes aktif sedang menerima rawatan di Pusat-pusat Pengasingan dan hospital.

 Sebanyak 9,746 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

 Bagi Program Vaksinasi Kebangsaan setakat 23 Mac 2022, sebanyak 60.3 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin manakala lebih 94 peratus satu dan dua dos vaksin.

Related posts

Leave a Comment