INDONESIA merekodkan tambahan 1,014 kes positif Covid-19 bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini menjadikan kes keseluruhan 37,420 dengan kematian meningkat kepada 2,091 orang.
Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, berkata sebanyak 43 kematian dilaporkan dalam tempoh tersebut.
Katanya, sebanyak 13,578 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.
Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 589 kes diikuti provinsi Jakarta (548 kes), Jawa Barat (161), Kalimantan Selatan (120) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.
SINGAPURA mengesahkan tambahan 347 kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes 40,197.
Terdapat lima kes dalam komuniti dengan dua melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap manakala tiga lagi adalah pemegang pas pekerja.
Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa majoriti yang besar itu masih melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.
Setakad Jumaat, terdapat 239 kes disahkan yang masih berada di hospital dengan dua dalam keadaan kritikal. Setakat ini jumlah kematian adalah 25 orang.
THAILAND mencatatkan lima kes baharu Covid-19, kesemuanya melibatkan warga negara itu yang pulang dari Arab Saudi, manakala tiada kematian sejak 24 jam yang lepas menjadikan jumlah kes 3,134 dengan 58 kematian.
Pusat bagi Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lima pesakit baharu itu adalah pelajar berusia antara 21-26 tahun dan sedang menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan negeri di Chachoengsao dan Samut Prakan.
Daripada 3,134 kes, 2,987 daripadanya telah pulih dan dibenarkan pulang manakala 89 lagi masih dirawat. Ini adalah hari ke-19 tanpa jangkitan tempatan.
FILIPINA setakat pukul 4 petang 13 Jun merekodkan 607 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes 25,392. Kes tersebut melibatkan 504 kes terkini dan 103 kes lewat yang dilaporkan hari ini. Kes baru adalah berdasarkan laporan pencapaian harian yang diserahkan oleh 43 daripada 54 makmal.
Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) juga mengumumkan 252 pesakit pulih menjadikan jumlah pemulihan sebanyak 5,706.
Sementara itu jumlah kematian meningkat kepada 1,074 berikutan 22 lagi kematian dilaporkan.
BRUNEI DARUSSALAM terus mengekalkan kes sifar jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kes kekal 141 orang dengan dua kematian, dan 138 sembuh.
Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md. Isham Jaafar berkata, hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.