SOSMA: Sokongan 85 bantah 86

KUALA LUMPUR 24 Mac – Kedudukan sebenar undi belah bahagian bagi usul berkaitan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), semalam adalah 85 menyokong, bukan 84.

Bagaimanapun, pindaan itu tidak mengubah keputusan semalam memandangkan jumlah Ahli Parlimen yang tidak menyokong usul itu masih lebih tinggi, iaitu 86 undi.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun hari ini membuat pindaan itu berikutan terdapat kekhilafan apabila Ahli Parlimen Besut,  Idris Jusoh ditandakan sebagai tidak hadir, sedangkan beliau hadir dan terbabit dalam sesi undian.

Menurut Azhar, Ahli Parlimen Jempol (Salim Sharif) yang juga penghitung undi bagi blok D1 memaklumkan telah terkhilaf menandakan Ahli Parlimen Besut tidak hadir dalam senarai undi, walaupun sebenarnya Ahli Parlimen Besut hadir semasa undian.

“Oleh itu, saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 100 meminda keputusan belah bahagian bagi usul itu, daripada 84 undi bersetuju kepada 85 undi bersetuju.

“Jumlah Ahli Parlimen tidak hadir pula dipinda daripada 50 kepada 49 sahaja, manakala jumlah undi 86 yang tidak bersetuju tetap sama,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu ditolak selepas Azhar memaklumkan keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Susulan pindaan dibacakan Azhar, beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun meminta Parlimen membuat penambahbaikan sistem undian belah bahagian supaya kekhilafan sama tidak lagi berulang pada masa depan.

Mengulas perkara itu, Azhar memaklumkan pihaknya sudah membuat pemeriksaan, termasuk menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan Idris semenangnya hadir ketika sesi undian, sebelum pindaan diumumkan.

Pada masa sama, Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen pembangkang supaya proses undian diperbaiki.

Related posts

Leave a Comment