10 calon Melayu, hanya seorang dipilih

DI MANA kedudukan orang Melayu dalam DAP ? Sebenarnya berapa keanggotaan Melayu bagi membuktikan DAP parti pelbagai kaum? Berapa cawangan ‘DAP Melayu’ yang boleh menjadi perwakilan?

Persoalan ini timbul  berikutan keputusan pemilihan jawatankuasa tertinggi parti (JTP) DAP yang berlangsung semalam. Hampir 100 peratus keanggotaannya dikuasai oleh calon bukan Melayu. Calon Melayu tidak mendapat undi sewajarnya.

Walaupun ada dalam kalangan Melayu ini wakil rakyat, tetapi belum mampu menjadi tiket untuk dipilih, sama seperti yang berlaku kepada calon bukan Melayu termasuk

V. Sivakumar, Ngeh Koo Ham, Tony Pua Kiam Wee, Yeo Bee Yin dan Ong Kian Ming.

Daripada 10 calon Melayu yang menawarkan diri, hanya seorang Melayu yang dipilih dalam kalangan 30 orang JTP, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman atau Rara yang memperoleh 991 undi, di tempat ke-24.

Rara sehari sebelum itu memenangi jawatan Timbalan Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY) dengan memperoleh 212 undi mengalahkan Abdul Aziz Isa (169) dan Alice Lan Suet Ling (64).

Tiga wakil rakyat Melayu yang turut tewas semalam adalah Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang memperoleh 542 undi, ADUN Tanjong Bunga Zairil Khir Johari  662 undi dan ADUN Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari 648 undi.

Begitu juga dengan Syahredzan Johan, Setiausaha Politik Lim Kit Siang yang memperoleh 428 undi, wartawan veteran Wan Hamidi Hamid 226 undi dan bekas ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali yang memperoleh 291 undi.

Tengku Zulpuri sebelum ini salah seorang Naib Pengerusi dilantik kali ini p dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Syahredzan sebagai anggota JTP.

Ini bermakna ada tiga Melayu dalam barisan kepemimpinan utama DAP, seorang dipilih dan dua lagi dilantik selepas ‘ditolak’ oleh perwakilan seramai 4,149.

Keputusan pemilihan ini yang memihak kepada calon bukan Melayu bukanlah satu kejutan kerana sudah lumrah, parti yang diasaskan oleh kaum Cina seperti Gerakan juga mempunyai masalah yang hampir sama.

Sukar untuk calon Melayu memenangi jawatan di peringkat parti walaupun di peringkat calon pilihan raya umum (PRU) mereka mampu menang, mungkin sokongan padu anggota parti dan penyokong bagi memastikan parti tetap menang.

Keadaan mungkin berbeza jika parti pelbagai kaum itu diasaskan Melayu seperti PKR yang keanggotaannya nampak lebih seimbang apabila ada bukan Melayu yang masih diberi peluang dan kepercayaan memegang jawatan utama.

Bagi DAP, ia menggambarkan sokongan ahli akar umbi masih memihak kepada satu kaum dan anggota parti masih belum dapat menerima sepenuhnya perubahan yang cuba dibawa parti bahawa DAP adalah parti politik pelbagai kaum.

Justeru, wakil Melayu DAP yang kini hanya tiga orang perlu melakukan sesuatu supaya Melayu dalam DAP tidak ketinggalan bukan sekadar dilabel oleh sesetengah pihak bahawa kedudukan Melayu DAP hanyalah ibarat ‘pasu bunga’.

Mungkin juga sudah tiba masanya DAP ‘memaksa’ perwakilan wajib memilih sekurang-kurangnya dua orang Melayu melalui kertas undi bukannya lantikan yang akan memberi gambaran kepada akar umbi bahawa Melayu kalah boleh dilantik.

Jika DAP boleh memperuntukkan sembilan kerusi JKP kepada wanita mulai pemilihan kali ini, maka pendekatan yang sama juga boleh digunakan untuk memastikan Melayu mempunyai wakil dalam barisan kepemimpinan parti secara pengundian.

Mungkin kaedah ini boleh digunakan untuk tempoh tertentu sehingga orang Melayu boleh menerima DAP sebagai salah satu pilihan selain UMNO, Pas, PKR atau Amanah.

Secara tidak langsung ini akan memberi ruang atau peluang orang Melayu menyertai DAP sekali gus membuktikan Melayu dalam DAP bukan sekadar ‘pasu bunga’.

Walaupun kerjasama pembangkang melalui Pakatan Harapan memberi harapan kepada DAP, parti itu tidak seharusnya membiarkan ia dilabel parti mementingkan perkauman, cauvinis manakala Melayu DAP pula didakwa diperalatkan.

Pada masa yang sama, wakil rakyat Melayu DAP ini juga perlu membuktikan bahawa mereka boleh diterima di kawasan bukan Melayu sebagai calon Melayu DAP bukan menang kerana lambang roket semata-mata.

Maknanya jika mereka diletakkan di kawasan Melayu sebagai calon DAP, sekurang-kurangnya masih ada undi untuk mereka sebagai calon roket, bukannya  Melayu ragu-ragu mengundi kerana menganggap DAP sebagai parti perkauman.

Related posts

Leave a Comment