15 projek mega diteruskan tahun ini – Prabowo

BOGOR – Dasar hiliran yang dirintis oleh Presiden Ketujuh, Joko Widodo (Jokowi), diteruskan dengan melaksanakan 15 projek mega bernilai tinggi bernilai berbilion dolar tahun ini, kata Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

“Perlu diingat, kita tidak akan bergantung kepada pelaburan asing,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-17 Parti Gerindra pimpinannya di Bogor, Jawa Barat, semalam.

Beliau berkata, Indonesia perlu meneruskan usaha hiliran sumber semula jadi bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat.

Katanya , Kabinet yang diterajuinya bersikap terbuka kepada pelabur yang ingin menyertai pelaksanaan dasar hiliran, namun kerajaan tidak akan merayu untuk mendapatkan modal pelaburan mereka.

“Kita terbuka kepada pelabur asing yang ingin melabur di Indonesia. Namun, kita tidak akan merayu. Kita akan bangkit dengan kekuatan sendiri,” katanya.

Prabowo menjelaskan bahawa usaha hiliran sumber semula jadi bagi meningkatkan nilainya selaras dengan misi utama pentadbirannya yang dikenali sebagai Asta Cita.

Beliau turut menyatakan bahawa langkah hiliran ini akan merangkumi sektor maritim bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, dengan matlamat membina ekonomi yang adil dan saksama untuk semua rakyat.

Menurut Prabowo, dasar hiliran sejajar dengan visi Presiden Pertama Indonesia, Soekarno atau Bung Karno, yang memperjuangkan kemandirian dan kebergantungan kepada sumber sendiri.

“Kita ingin merealisasikan impian Presiden Soekarno, memastikan negara ini mampu berdikari,” katanya.

Prabowo turut mengulangi komitmennya untuk melaksanakan keutamaan lain tahun ini, termasuk program Makanan Berkhasiat Percuma, mampu diri dalam bidang makanan, dan keselamatan tenaga.

Nnn

Related posts

Leave a Comment