Pulau Pinang setuju rapatkan saf

KEPALA BATAS 20 Mac – Pulau Pinang bersetuju mengikut saranan kerajaan Pusat bagi melaksanakan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di semua masjid dan surau di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, tarikh pelaksanaannya belum diputuskan lagi, sama ada dikuatkuasakan pada 1 April atau selewat-lewatnya awal Ramadan.

Katanya, jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini bersetuju mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Pusat.

“Pada masa sama, kita juga akan berusaha menyelaraskan SOP terbaharu peringkat Persekutuan dengan garis panduan yang dikuatkuasakan peringkat negeri,” katanya pada Majlis Doa Selamat Misi Everest 2022 di Surau Permatang Kerai Besar di sini, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata, ketetapan untuk melaksanakan solat berjemaah dengan merapatkan saf juga dibuat selepas mengambil kira penurunan kes positif Covid-19 di negeri ini.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan bahawa solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Berhubung majlis berbuka puasa dan ‘moreh’, Ahmad Zakiyuddin berkata, kedua-dua aktiviti berkenaan turut dibenar diadakan, namun perlu mengikut kesesuaian berdasarkan SOP dengan kapasiti jemaah berdasarkan luas lantai masjid atau surau masing-masing.

“Pelaksanaan solat tarawih juga boleh dilaksanakan seperti biasa mengikut SOP sedia ada,” katanya.

Related posts

Leave a Comment