‘Top Five’ UMNO bincang PRU-15

KUALA LUMPUR 20 Mac – Naib Presiden UMNO,  Ismail Sabri Ismail Yaakob berkata, keputusan berkaitan cadangan untuk membubarkan Parlimen akan dibincangkan dalam kalangan lima pimpinan tertinggi atau ‘Top Five’ UMNO.

Beliau berkata, ia juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. 

“Saya akan bawa kepada ‘Top Five’ untuk membincangkan perkara ini. Selepas ‘Top Five’ kita akan bawa dalam MKT untuk bincang bersama-sama.

“Kita mahu BN jadi parti dominan semula. Jadi kalau kita yakin dengan kemenangan, kita tidak akan tunggu walau satu saat pun untuk membubarkan Parlimen bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Bagi memenangi PRU ke-15, Ismail Sabri berkata, UMNO mesti bersatu padu dan mengelak perpecahan dalaman.

“Saya umumkan pada 1 April ini di dalam masjid, kita akan mula rapatkan saf dan kita UMNO juga mesti rapatkan saf.

“Saya berjanji dengan rakan-rakan di atas pentas ini, akan rapatkan saf bersama dengan akar umbi. Jika kita bersatu, insya-Allah kemenangan PRU-15 di tangan UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katannya.

Related posts

Leave a Comment