Kes jangkitan harian meningkat

PUTRAJAYA 16 Mac – Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dengan merekodkan 26,534 kes baharu setakat semalam berbanding 22,030 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan 3,872,135.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada kes baharu yang dicatatkan semalam, sejumlah 25,843 kes adalah penularan tempatan dengan 691 kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Kes paling tinggi adalah dalam kalangan pesakit Covid-19 kategori dua dengan 15,842 kes atau 59.71 peratus diikuti kategori satu, 10,516 kes (39.63 peratus), masing-masing 65 kes dalam kategori tiga dan empat serta kategori lima 46 kes.

Dalam kenyataan media, beliau memaklumkan secara keseluruhannya, daripada  222 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 53.98 peratus atau 95 kes membabitkan pesakit berumur 60 tahun ke atas.

Sebanyak 91 kes iaitu 51.70 peratus membabitkan individu yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak, mempunyai komorbid (61 kes), tidak divaksin atau belum lengkap divaksin (45 kes) dan sudah menerima dos penggalak (40 kes).

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini, sebanyak 376 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 152 kes disahkan dijangkiti serta 224 kes pula disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 222 kes iaitu 90 kes disahkan COVID-19 dengan 132 kes pula disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Beliau juga memberitahu, empat kluster baharu dikesan sekali gus menjadikan setakat ini terdapat 366 kluster yang masih aktif di negara ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, terdapat sebanyak 31,234 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan sehinggga kini terdapat 3,533,994 kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

Mengenai negeri yang mencatatkan penggunaan katil ICU melebihi 50 peratus, setakat ini terdapat tujuh negeri iaitu Kuala Lumpur (81 peratus), Putrajaya (67 peratus), Johor (64 peratus), Selangor (60 peratus), Kelantan (58 peratus), Perlis (55 peratus) dan Melaka (50 peratus).

Sebanyak 12 negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus bagi katil bukan ICU iaitu Putrajaya (104 peratus), Kuala Lumpur (90 peratus), Terengganu (87 peratus), Perak (83 peratus) dan Selangor (79 peratus).

Negeri lain ialah Melaka dengan 77 peratus, Perlis (76 peratus), Sarawak (72 peratus), Kelantan (67 peratus), Johor (57 peratus), Pahang (52 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus).

Related posts

Leave a Comment