Berhenti sementara sebagai ahli Pas

KUALA LUMPUR 16 Mac – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan beliau hanya berhenti sementara sebagai anggota Pas dan tidak akan  menyertai UMNO atau menubuhkan parti baharu.

Katanya, tindakannya bukan keluar atau meninggalkan terus parti itu sebaliknya akan kembali semula kepada Pas apabila tiba masa yang sesuai selepas misinya selesai dan diterima semula parti.

“Saya berhenti menjadi ahli ada tujuan dan matlamat tertentu yang mana saya akan mengukur keadaaan dari masa ke semasa, sehingga berjaya mengajak Pas membetulkan kepemimpinan parti dan parti menang dengan cara terbaik,” katanya.

Dalam temubual khas Ruang Bicara di Bernama TV, malam tadi, Khairuddin,  bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat menegaskan beliau tidak akan mengajak ahli Pas walaupun isterinya mengikut jejak beliau sebaliknya terus istiqamah dengan Pas.

Beliau juga menjelaskan tidak merajuk selepas digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat parti.

“Saya mengambil tindakan membakar diri kerana saya sayangkan Pas dan ahli Pas…saya sudah bersama Pas kira-kira 33 tahun sejak usia 16 tahun lagi,” katanya.

Menjelaskan tindakan keluar parti itu, katanya mengambil keputusan itu bagi membolehkan beliau membetulkan Pas dari luar parti.

Katanya, ada perkara yang beliau tidak boleh cakap dan betulkan selagi masih dalam parti, kerana parti ada perlembagaan dan disiplinnya.

Beliau berkata, ada banyak kecelaruan dalam parti berkaitani isu pengurusan parti peringkat pusat.

“Saya sudah cuba betulkan di peringkat Jawatankuasa Pusat, melalui jawatan saya sebagai Pengarah Institut Strategik Pas Pusat dan ahli Majlis Syura Ulamak selaku Setiausaha .

“Segalanya perkara sudah saya bawa melalui saluran yang ada dan kemukakan dan bincangkan secara dalaman, tetapi dibocorkan dan menjadi fitnah kepada saya, sedangkan sebagai ahli parti saya menjalankan tanggungjawab dan saluran yang ada tetapi kemuncaknya digugurkan dan akhirnya saya mengambil keputusan berhenti sementara daripada Pas,” katanya.

Ditanya mengenai kecaman dibuat atas teguran yang beliau buat dan tindakannya meninggalkan parti itu, beliau menegaskan tidak sama sekali marah atau terguris hati dengan kecaman ahli parti.

“Apa yang berlaku kerana kesilapan menguruskan kepemimpinan parti yang mana beberapa kali sudah dibetul dan ditegur…apabila ia tidak diendahkan, maka kita tidak berjaya dalam dua pilihan raya kerana tidak ada barokah,” katanya.

Mengenai Muafakat Nasional (MN), beliau menegaskan, MN yang dicapai bersama UMNO melalui jalan yang panjang dan mengikut saluran mengikut perlembagaan parti sebaliknya kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berlaku sebaliknya.

“Kerjasama dengan PN ditandatangani oleh Presiden parti dan disaksikan beberapa AJK Pas Pusat tidak melalui keputusan AJK Pas Pusat atau disahkan Majlis Syura Ulama mahupun Muktamar Pas.

“Namun, kerjasama dengan PN ini sudah saya perbetulkan sebab itu kita gunakan slogan pertahankan MN dan perkasakan PN,” katanya.

Ditanya tindakan Pas bermain ‘dua kolam’, katanya perkara itu tidak salah jika demi keutuhan dan muafakat umat Islam dan orang Melayu kerana sudah diputuskan Pas dalam hala tujunya untuk memerangi kemaraan Pakatan Harapan (PH) yang jelas tidak memihak kepada umat Islam dalam 22 bulan pentadbirannya.

Related posts

Leave a Comment