95 kematian baharu Covid-19

PUTRAJAYA 16 Mac – Kementerian Kesihatan melaporkan 95 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 33,994 orang, daripada 3.84 juta kes positif yang dikesan di negara ini.

Menurut data di portal COVIDNOW, 23 daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Selangor mencatatkan kematian tertinggi  iaitu 21 kes, diikuti Johor (16), Perak (14), Kedah (10), Pulau Pinang (lapan) dan Sabah (lima).

Selain itu, Melaka, Pahang dan Perlis masing-masing melaporkan empat kes, Negeri Sembilan dan Sarawak masing-masing tiga kes, Kelantan (dua) manakala Terengganu (satu).

Sementara itu, terdapat 304,147 kes aktif Covid-19 di seluruh negara di mana daripada jumlah itu, 293,435 individu atau 96.5 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 2,123 orang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 8,213 di hospital dan 376 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 154 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 222 lagi memerlukan mesin ventilator.

Related posts

Leave a Comment