Shahrir malu kempen Hasni, lain dapat

PUTRAJAYA 15 Mac – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Shahrir Samad meluahkan rasa kecewanya dengan konflik pelantikan Menteri Besar Johor, terutama apabila Pengerusi UMNO Johor, Hasni Mohammad, tidak menjawat jawatan itu.

“Mula-mula cerita itu sampai ke saya secara bisik-membisik. Saya hanya terdiam.

“Tadi, adanya kenyataan media oleh YB Dato Hj Ir Hasni. Bahasanya teratur dan sungguh halus. Tapi ia mengesahkan secara tersirat akan ada pengganti kepada dirinya bagi jawatan Menteri Besar Johor.

“Malu saya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Berikutan itu, Shahrir berkata, beliau tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan bermula 16 Mac ini.

“Sepanjang kempen saya ketawakan PN dan PH serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai MB (Menteri Besar). UMNO sudah pasti dengan Datuk Hasni sebagai MB.

“Tapi itu tidak cukup kuat. Dan UMNO Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

“Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia hujung minggu ni.

“Boleh dapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan. Taklah sehebat mana UMNO Johor,” katanya.

Shahrir juga sepatutnya menjadi jurucakap UMNO Johor di PAU kali ini.

“Tapi kalau saya sudah malu nak ke PAU atas nama bahagian UMNO dari negeri Johor, tak de lah saya nak cakap apa2 pun.

“Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali dibawah kepimpinan Dato Hasni,” katanya.

Related posts

Leave a Comment