Peningkatan mpox di negara-negara Afrika

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kes mpox menunjukkan peningkatan di beberapa negara Afrika dan mula merebak ke kawasan baharu.

Dalam laporan terbaharu, WHO menyatakan bahawa Guinea melaporkan kes mpox atau cacar monyet buat kali pertama, sementara Republik Demokratik Congo adalah negara yang paling terjejas.

Pada tahun ini, sebanyak 85 peratus daripada kira-kira 6,600 kes mpox disahkan di Congo manakala di seluruh Afrika, 32 pesakit dijangkiti mpox meninggal dunia, termasuk 25 di Congo.

Disebabkan kekurangan kemudahan ujian, hanya 37 peratus daripada kes yang disyaki di Congo dapat diuji, dan 55 peratus daripada ujian itu disahkan jangkitan mpox.

Walaupun negara-negara Afrika melaporkan jumlah kes yang disyaki kepada WHO, kekurangan ujian yang mencukupi bermakna angka terbabit mungkin tidak tepat.

Jumlah kes yang disyaki di seluruh Afrika meningkat sekitar tujuh peratus kepada 31,500 dalam tempoh seminggu sehingga 22 September.

Negara jiran Burundi juga terjejas dengan ketara. Sejak wabak itu dikesan pada Julai, 1,879 kes disyaki dilaporkan, dengan 80 peratus daripadanya berlaku sejak 12 Ogos.

Burundi melakukan lebih banyak ujian berbanding Congo, dengan sekitar 93 peratus kes yang disyaki diuji, dan 40 peratus disahkan sebagai mpox.

Related posts

Leave a Comment