22,984 kes baharu Thailand

BANGKOK 10 Mac – Thailand merekodkan 22,984 kes baharu menerusi ujian RT-PCR dan 74 kematian, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 3,111,857 kes dan 23,512 meninggal dunia sejak wabak itu melanda pada 2020.

Daripada jumlah itu, sebanyak 22,937 adalah jangkitan tempatan dan 47 kes import manakala 49,494 orang disahkan positif Covid-19 melalui kit ujian antigen tetapi tidak dimasukkan dalam jumlah kes harian.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, sebanyak 24,161 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 2,868,011 pesakit pulih.

Sementara itu, subvarian Omicron BA.2 kini varian dominan di Thailand, menyumbang kira-kira 52 peratus daripada jumlah kadar jangkitan akibat Covid-19.

Pengarah Bahagian Berita Jabatan Penerangan, Kementerian Luar, Maratee Nalita Andamo berkata sub-varian BA.2 dilihat lebih mudah menular berbanding sub-varian BA.1 dan menjadi dominan di negara gajah putih itu.

“Menurut ketua pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr Supakit Sirilak, sub-varian BA.2 menyumbang 51.8 peratus kes membabitkan varian Omicron manakala BA.1 menyumbang 48.2 peratus jangkitan,” katanya.

Data menunjukkan varian Omicron menyumbang 99.6 peratus daripada keseluruhan kes.

Sementara itu, menurut laporan portal berita, Pejabat Keselamatan Kesihatan Kebangsaan Thailand (NHSO) mendedahkan telah membayar 1.51 bilion baht (US$45.60 juta) kepada 12,714 orang yang mengalami kesan sampingan vaksinasi.

Seramai 15,933 orang telah memfailkan aduan setelah mengalami kesan sampingan  vaksinasi dari 19 Mei 2021 hingga 8 Mac tahun ini manakala 2,328 aduan ditolak kerana kesan sampingan tiada kaitan dengan vaksinasi. Sebanyak 891 kes lagi dalam pertimbangan.

Related posts

Leave a Comment