BERAKAS 10 Mac – Brunei Darussalam merekodkan satu lagi kematian dan 3,849 kes baharu Covid-19 hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan 140,022
Bagaimanapun kematian itu tidak dikategorikan sebagai kematian akibat Covid-19 dan ini bermakna jumlah keseluruhan yang meninggal dunia kekal 75 orang.
Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, terdapat 11 kes kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi dan lapan kes Kategori 5, memerlukan bantuan mesin pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Intensif.
Bercakap pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di sini hari ini, beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 3,172 adalah hasil pengesanan daripada ujian ART manakala 677 kes lagi adalah hasil daripada 4,100 ujian makmal RT-PCR.
Pada masa ini kata Dr Isham , kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ adalah sebanyak 8.5 peratus dengan 287 kes aktif sedang menjalani rawatan di pusat-pusat pengasingan.
Katanya, sebanyak 39,498 kes positif sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
Sementara itu, sebanyak 3,333 kes sembuh dilaporkan hari ini yang membawa kepada jumlah kes pulih 64,081 manakala jumlah kes aktif adalah sebanyak 39,785.
Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, sehingga 9 Mac, sebanyak 57.5 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin, manakala kadar satu dan dua dos masing-masing melebihi 94 peratus.