12 wanita bakal anggotai CEC DAP

KUALA LUMPUR 9 Mac – Buat julung kalinya, sembilan kerusi atau 30 peratus kuota bagi Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) 2022-2025 pada pemilihan 20 Mac ini akan diperuntukkan kepada wanita.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata ia selaras dengan pindaan baharu perlembagaan parti yang juga menambah bilangan anggota CEC kepada 30 berbanding 20 sebelum ini.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau memberitahu pemilihan pada Kongres Kebangsaan Parti Ke-17 itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Katanya, sebanyak 4,149 perwakilan dijangka hadir pada kongres kali ini, jumlah terbesar dalam sejarah kongres DAP berikutan pertambahan cawangan selepas pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, daripada 93 calon yang menawarkan diri itu, 18 adalah wanita dan setiap kertas undian perlu dilengkapkan dengan nombor calon pilihan, perlu mencukupi 30, tidak lebih dan tidak kurang.

Borang yang didapati melebihi atau kurang 30 nombor calon atau mempunyai nombor calon yang sama akan dianggap rosak.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kerusi wanita, beliau berkata :  Kalau dalam pemilihan itu nanti, kurang daripada sembilan calon wanita yang mendapat undian tertinggi, maka calon wanita yang mendapat undi ke bawah misalnya dia berada pada nombor 31 atau 32, dia automatik akan mendapat tempat dalam kalangan 30 orang bagi CEC,”

Katanya, seperti amalan sebelum ini, 30 anggota CEC yang dipilih akan mengadakan mesyuarat bagi memilih pemegang jawatan dalam parti termasuk Pengerusi, timbalan dan naib pengerusi, setiausaha agung dan setiausaha organisasi.

Loke berkata, barisan kepemimpinan CEC yang akan dipilih pada kali ini bakal melambangkan sebuah kepemimpinan inklusif gender.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP), Loke memberitahu kesemua dewan IDCC iaitu sebanyak 12 dewan telah ditempah bagi memastikan adanya penjarakan sosial sepanjang kongres termasuk proses pemilihan.

Katanya, sebuah syarikat firma audit iaitu Grand Thorton akan mengendalikan proses pemilihan dan pengiraan undi dapat dijalankan secara profesional dan telus.

Related posts

Leave a Comment