Hospital Al-Amal hampir lumpuh

GENEVA – Hospital Al-Amal di Gaza antara sebilangan kecil pusat perubatan yang masih beroperasi di wilayah Palestin kini hampir lumpuh sepenuhnya akibat serangan tentera Israel yang semakin hebat.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus, menerusi hantaran di X berkata, akses ke hospital itu dihalang, sekali gus menyebabkan pesakit baharu gagal mendapatkan rawatan.

Katanya, dua pasukan perubatan kecemasan, masing-masing satu tempatan dan antarabangsa, berusaha merawat baki pesakit dengan bekalan perubatan terhad yang terdapat di premis itu.

“Susulan penutupan Hospital Al-Amal, Kompleks Perubatan Nasser kini satu-satunya hospital yang masih mempunyai unit rawatan rapi (ICU) di Khan Younis,” katanya.

Khamis lalu, WHO berkata Hospital al-Nasser serta Al-Amal tidak dapat merawat sepenuhnya mangsa yang terus dibawa masuk susulan kekurangan serius bekalan ubat dan perubatan selepas dua bulan dikenakan sekatan.

Pihak berkuasa Israel baru-baru ini membenarkan sedikit bantuan kemanusiaan masuk, namun jumlahnya jauh daripada mencukupi.

Perang yang berterusan hampir dua tahun susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, mencetuskan antara krisis kemanusiaan paling serius di dunia, dengan orang awam keletihan akibat pengeboman, pemindahan paksa dan kebuluran.

Related posts

Leave a Comment