Kelab malam masih ditutup

KUALA LUMPUR 9 Mac – Premis hiburan kelab malam masih tidak dibenarkan untuk beroperasi bermula fasa peralihan endemik mulai 1 April ini kerana ia berisiko tinggi kepada penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kelab malam adalah satu jenis premis yang akan berada dalam senarai negatif mulai 1 April ini.

Semalam Perdana Menteri  Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan fasa peralihan endemik negara mulai 1 April antara lain menyebut premis perniagaan termasuk restoran dibenarkan beroperasi sehingga selepas 12 malam.

Khairy pada sidang media di Parlimen berkata, kerajaan yakin proses transisi negara ke arah fasa peralihan endemik seperti diumumkan Perdana Menteri semalam, bersifat sehala dan boleh diteruskan.

Bagaimanapun, pihaknya sedia melihat sebarang kemungkinan termasuk meneliti kelonggaran diberikan melalui peralihan itu sebaik memasuki fasa berkenaan kelak.

“Salah satu perkara yang saya sudah menasihati Jemaah Menteri adalah sekiranya muncul varian baharu, yang lebih ganas daripada Omicron…bukan saja Malaysia, tetapi negara lain pun mesti kaji semula protokol pembukaan mereka,” katanya.

Khairy berkata, setakat ini berdasarkan maklumat dan data yang ada, kerajaan yakin peralihan endemik ini adalah bersifat sehala, namun Kementerian tidak boleh menolak kemungkinan muncul varian baharu atau perubahan dari segi sifat epidemiologi virus ini.

“Jadi, contoh jika kita sampai tahap sistem kesihatan lumpuh, kita akan syorkan kepada kerajaan langkah-langkah tertentu. Setakat ini, kita masih melihat transisi ini boleh diteruskan dan dipantau rapi Institut Kesihatan Kebangsaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment