17,051 kes baharu Singapura

SINGAPURA 9 Mac – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 17,051 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini, iaitu menunjukkan penurunan berbanding 22,201 yang direkodkan pada Selasa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 16,858 adalah jangkitan tempatan dan 193 kes import yang membawa kepada jumlah keseluruhan 885,593 kes.

Sebanyak 11 lagi meninggal dunia yang menjadikan jumlah keseluruhan 1,110 kematian manakala jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital naik kepada 1,513 hari ini  berbanding 1,499 semalam.

MoH memaklumkan, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 14,695 adalah kes  Protokol 2 iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Ia melibatkan 132 kes import dan 14,563 jangkitan tempatan.

Sebanyak 2,356 kes lagi disahkan menerusi ujian PCR iaitu 2,295 adalah jangkitan tempatan manakala 61 adalah kes import.

Sementara itu, seramai 1,513 pesakit masih dirawat di hospital, meningkat berbanding 1,499 semalam di mana 187 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa: dan 50 dipantau rapi di ICU.

Seramai 13,707 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital

Mengenai program vaksinasi, setakat semalam, sebanyak 95 peratus penduduk Singapura yang layak sudah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah program vaksinasi nasional.

Related posts

Leave a Comment