Kes harian Malaysia turun

PUTRAJAYA 7 Mac – Selepas tiga hari berturut-turut merekodkan lebih 30,000 kes, angka jangkitan harian semalam (Ahad) menunjukkan penurunan dengan 27,435 berbanding kes tertinggi 33,406 (Sabtu), 33,209 (Jumaat) dan 32,467 Khamis lalu.

Daripada keseluruhan jumlah jangkitan baharu direkodkan, semalam, sebanyak 27,181 kes adalah penularan tempatan dan 254 kes import , menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 3,622,607 kes.

Menerusi data dikongsikan di laman sesawang COVIDNOW, kes aktif berkurang sebanyak 2,955 kes kepada 308,251 kes, semalam berbanding 311,206 kes aktif dicatatkan, kelmarin.

Daripada keseluruhan kes aktif, 95.9 peratus pesakit atau 295,704 orang menjalani kuarantin di rumah, manakala 3,510 pesakit ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Seramai 8,658 pesakit lagi kini dirawat di hospital, dengan 379 pesakit dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada keseluruhan pesakit di ICU, 216 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengenai kes di wad ICU, jumlah itu meliputi 59.2 peratus penggunaan katil ICU di seluruh negara, dengan 89 daripadanya membabitkan kawasan Lembah Klang iaitu Selangor (70), Kuala Lumpur (14) dan Putrajaya (lima).

Kadar penggunaan katil ICU di Selangor adalah pada tahap 77 peratus, iaitu tertinggi berbanding negeri lain, diikuti Kelantan (75.3 peratus dengan 33 pesakit) dan Johor (72.9 peratus dengan 38 pesakit).

Data COVIDNOW yang dikemas kini sehingga tengah malam tadi turut menunjukkan seramai 30,335 pesakit disahkan sembuh, semalam.

Dalam pada itu, sebanyak 55 kematian direkodkan dengan 16 daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Related posts

Leave a Comment