Sinovac kanak-kanak mulai 7 Mac

PUTRAJAYA 6 Mac – Vaksin Coronavac (Sinovac) yang diluluskan pada 3 Mac lalu kepada kanak-kanak akan mula diberikan esok kepada kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty (Pfizer) atas faktor kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, berkata ibu bapa juga diberi pilihan untuk mendapatkan vaksin Sinovac kepada anak mereka sekiranya tidak bersetuju memberikan pelalian jenis Pfizer.

Ibu bapa boleh menyemak senarai nama serta waktu operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih yang menawarkan vaksin berkenaan secara walk-in di laman web KKM serta PHCorp.

CoronaVac adalah vaksin kedua yang diluluskan penggunaannya selepas vaksin Comirnaty.

Selain program PICKids yang menawarkan vaksin percuma, ada klinik dan hospital swasta menawarkan vaksin Sinovac kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun dengan bayaran.

Katanya, vaksin Sinovac hanya boleh diberi apabila kanak-kanak mencapai usia lima tahun pada tarikh lahir dan bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, dua dos vaksin Sinovac akan diberikan dengan selang masa empat minggu.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, walapun vaksin Sinovac itu sudah diluluskan, vaksin Comirnaty (Pfizer) dengan formulari kanak-kanak adalah vaksin yang diberi keutamaan dalam PICKids.

“Ia termasuk kanak-kanak yang mempunyai risiko tinggi dan terdapat komorbiditi seperti ada rendah imun atau immunocompromised, penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, kencing manis, obesiti dan penyakit lain,” katanya.

Related posts

Leave a Comment