Kes BID tanpa disedari positif

SERDANG 3 Mac – Sebanyak 91 peratus daripada 113 kes antara 5 hingga 21 Februari lalu, dikenal pasti positif Covid-19 selepas pesakit meninggal dunia, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, tinjauan Kementerian Kesihatan mendapati lebih 50 peratus waris kes BID beranggapan pesakit hanya mengalami sakit ringan dan tidak merujuk mereka ke fasiliti kesihatan dengan segera.

Khairy menyifatkan peningkatan kes BID itu membimbangkan, dengan kes positif hanya dikenal pasti ketika proses bedah siasat dijalankan

Justeru beliau menasihatkan orang ramai terutama yang ada ahli keluarga golongan warga emas, sekiranya ada apa-apa gejala seperti suhu demam tinggi atau batuk berterusan, dapatkan rawatan segera.

“Tolonglah bawa ke fasiliti kesihatan secepat mungkin sebab tinjauan kita mendapati lebih 50 peratus ahli keluarga atau waris pesakit yang meninggal dunia anggap sakit dialami adalah sakit ringan dan tidak merujuk (mereka) ke fasiliti kesihatan dengan segera.

“Apabila pesakit dikesan (positif Covid-19), ketika itu sudah terlalu lewat atau meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Khairy juga mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa, status vaksinasi golongan warga emas akan bertukar kepada tidak lengkap jika tidak mengambil suntikan dos penggalak sebelum 1 April ini.

Katanya, pertukaran status itu akan berlaku ke atas semua penerima vaksin dalam kalangan warga emas tanpa mengambil kira jenis dos vaksin primer diterima.

Selain itu, katanya, seramai 350,000 penerima dos premier vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dalam kalangan warga emas dikenal pasti belum menerima suntikan dos penggalak.

“Mulai 1 April ini, bagi penerima dos premier Sinovac tidak kira usia dan bagi semua warga emas tidak kira jenis dos premier yang tidak mengambil dos penggalak, status sijil vaksin kuning akan bertukar kepada sijil putih dan ia muktamad.

“Sekarang ini untuk (mendapatkan) suntikan penggalak individu terbabit hanya perlu ‘walk in’ dan tidak perlu tunggu janji temu bagi dos penggalak di semua pusat pemberian vaksin di seluruh negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment