SOP longgar Ramadan ini

KUALA LUMPUR 3 Mac – Solat sunat Tarawih dibenar dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negara pada Ramadan ini berpandukan prosedur operasi standard (SOP) lebih longgar yang akan diumumkan kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, setakat ini SOP masih belum diputuskan, namun operasi masjid akan berjalan seperti biasa meskipun ketika ini situasi Covid-19 dalam negara masih melepasi 20,000.

Katanya, SOP nanti akan dilonggarkan, bergantung kepada keadaan semasa serta berpandukan nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sumbangan Tablet kepada Pelajar dan Bantuan WiFi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Surau Jumaat At-Taqwa, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di sini, hari ini.

Idris berkata, SOP dikeluarkan KKM itu akan dibincangkan bersama pihak berkuasa agama Islam negeri untuk tindakan selanjutnya mengikut negeri masing-masing.

“In shaa Allah imarah masjid tahun ini akan berjalan. Kita doa kepada Allah SWT supaya penularan Covid-19 tidak serius. Jika semakin teruk, kita akan ikut nasihat Kementerian Kesihatan dan bila sudah ada SOP baharu, kita akan jaga elok-elok,” katanya.

Related posts

Leave a Comment