99.57 peratus kes kategori 1 & 2

PUTRAJAYA 28 Feb – Sebanyak 24,466 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam dengan 99.57 peratus atau 24,361 kes adalah dalam kalangan pesakit kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti virus berkenaan meningkat kepada 3,419,636 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 0.43 peratus lagi bersamaan 105 kes adalah pesakit kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

Secara keseluruhannya, jika mengikut pecahan, paling tinggi adalah dalam kalangan pesakit kategori dua iaitu sebanyak 15,657 kes atau 63.99 peratus, ia diikuti kategori satu (8,704 kes), kategori tiga (51), kategori empat (34) dan kategori lima (20).

Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata, daripada 105 kes dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 56 kes atau 53.33 peratus membabitkan individu yang menerima dua dos vaksin tetapi belum mendapatkan dos penggalak.

Katanya, kumpulan ini berisiko kerana berkemungkinan imuniti Covid-19 sudah menurun.

Selain itu 50.48 peratus atau 53 kes membabitkan individu berumur 60 tahun keatas, mempunyai komorbid (36 kes), tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksin (25 kes) dan sudah menerima dos penggalak (24 kes).

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat 353 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), ia membabitkan 146 kes disahkan Covid-19 dengan 207 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

“Bagi kes yang berada dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, terdapat sejumlah 193 kes iaitu 86 kes disahkan Covid-19 serta 107 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.

Mengenai pertambahan lima kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata ia menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 484 kluster yang masih aktif di negara ini dan secara keseluruhannya sebanyak 6,295 kluster sudah dikesan sejak penularan Covid-19 di Malaysia.

Setakat semalam, terdapat sebanyak 22,380 kes sembuh dilaporkan, ia menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 3,085,940 individu sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment