Kes baharu Malaysia 27,299

PUTRAJAYA 27 Feb. – Sebanyak 27,299 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kini meningkat kepada 3,395,170 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah katanya, sebanyak 27,043 kes adalah penularan tempatan dan 256 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Beliau berkata, majoriti kes iaitu 18,324 kes atau 67.12 peratus kes adalah pesakit kategori dua dengan gejala; 8,846 kes (32.41 peratus) kategori satu iaitu tidak bergejala, kategori tiga (62 kes), kategori empat (33 kes) dan kategori lima (34 kes).

Daripada pesakit dalam kategori tiga hingga lima, sebanyak 71 kes (55.04 peratus) membabitkan pesakit yang sudah mendapatkan dua dos vaksin, namun belum menerima dos penggalak.

Kumpulan ini mungkin kerana imuniti Covid-19 sudah menurun.

Sebanyak 65 kes atau 50.39 peratus membabitkan pesakit berusia 60 tahun dan ke atas, mempunyai komorbid (35 kes), tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian (32 kes), sudah mendapatkan dos penggalak (26 kes) dan ibu mengandung (satu kes).

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan kes aktif di negara ini, sebanyak 348 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) iaitu 153 kes disahkan Covid-19 dengan 195 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes yang dirawat dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 348 pesakit iaitu 91 kes sudah disahkan dengan 112 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Selain itu, beliau berkata, tujuh kluster baharu dikenal pasti menjadikan sehingga kini terdapat 494 kluster yang masih aktif di negara ini.

Sebanyak 22,710 kes pulih dilaporkan, semalam menjadikan seramai 3,063,560 individu sudah pulih sepenuhnya daripada wabak berkenaan.

Related posts

Leave a Comment