Dos penggalak, kenapa Jumaat, masjid?

MULAI hari ini, solat Jumaat di Selangor hanya ‘terbuka’ kepada jemaah yang lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak. Perkhabaran kurang menyenangkan selepas masjid dan surau dibuka mengikut kapasiti dan penjarakan lebih ‘rapat’..

Sejak 21 Januari 2022, jemaah tidak lagi terkejar-kejar mencari ruang di masjid atau surau Jumaat selepas Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah.

Pada masa yang sama, ketika itu jemaah di Selangor yang berjiran dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan tidak lagi merentas negeri hanya kerana untuk solat Jumaat.

Bagaimanapun kegembiraan dan keselesaan itu bagaikan ‘diragut’ hari ini apabila golongan yang belum mendapatkan dos penggalak perlu akur dengan peraturan baharu. Dua dos bukan lagi syarat layak untuk solat Jumaat. Perlu tiga dos.

Justeru pilihan yang ada kepada jemaah Selangor tanpa dos penggalak adalah ke negeri jiran. Jika tidak, anggap sahaja dos itu sebagai penghalang dan zuhur sahaja di rumah bagi mengelakkan kemudaratan.

Kita hormat keputusan JAIS. Tetapi perlu dijelaskan kenapa Selangor berbuat demikian sedangkan rata-rata negeri lain tidak mengenakan syarat yang sama?

Jangan sekadar memberi alasan kes naik mendadak.

Jemaah yang tetap setia dan patuh ‘syarat boleh solat’ faham langkah itu sejajar arahan mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di masjid, surau dan musolla bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Sesiapa pun tidak membantah jika usaha itu bagi membendung penularan Covid-19 lebih-lebih lagi Selangor terus mendahului carta jumlah kes yang tertinggi.

Bagaimanapun dalam hal ini, setiap kali SOP di masjid dan surau disentuh, akan timbul pelbagai persoalan adakah hanya di lokasi itu sahaja Omicron, Delta dan sebagainya akan ‘mengganas’ dan ‘mengancam’ nyawa manusia atau jemaah?

Jemaah akan membandingkan ‘kebebasan’ yang diberi ketika mereka di restoran, pusat membeli-belah, pasar malam, panggung wayang, di dalam pengangkutan awam dan sebagainya.

Sedangkan realitinya, jemaah masjid / surau adalah antara kumpulan yang mematuhi SOP termasuk imbas suhu dan MySejahtera, berwuduk di rumah dan membawa sejadah. Ada yang langgar tetapi kes terpencil.

Tentunya situasi ini berbeza dengan lokasi atau premis lain termasuk di restoran dan pusat membeli-belah.

Justeru pihak berkuasa perlu memberi jawapan atau penjelasan yang sewajarnya bagi mewajarkan keputusan memasukkan satu lagi ‘rukun’ SOP itu, bukan akhirnya menimbulkan persepsi wujud peraturan antara dua darjat atau double standard.

Kita mengalu-ngalukan sebarang usaha untuk membendung penularan dalam kalangan jemaah tetapi pada masa yang sama apa pula rasionalnya memberi kelonggaran atau kebebasan di premis lain?

Di premis lain, ramai yang sekadar mundar mandir mengisi masa yang lebih panjang berbanding masjid atau surau. Begitu juga di restoran atau tempat lain yang pergaulan lebih terbuka, bebas dan terdedah.

Apa bezanya lokasi yang menjadi tumpuan ramai itu dengan manusia pelbagai ‘dos’ – ada yang satu, dua, penggalak dan ada yang langsung tidak ada dos. Apa status mereka di sini? Kebalkah jika berada di luar masjid atau surau?

Adakah usaha membendung penularan hanya menjadi tanggungjawab masjid dan surau? Langkah ini ibarat menepuk sebelah tangan pada hal slogan pencegahan “Kita Jaga Kita”. Siapa tahu selamat di masjid tetapi dijangkiti di tempat awam lain?

Persoalan ini yang perlu dijawab secara tuntas dan hikmah bagi mengelakkan salah faham, kekeliruan atau lebih malang ‘rukun solat’ dijadikan jenaka dan sindiran.

Carilah alternatif atau jalan keluar yang memberi situasi menang-menang. Mungkinkah diwujudkan satu ruang khas di masjid atau surau bagi memberi peluang jemaah tanpa dos penggalak – sama ada tidak mahu, belum ambil, belum layak atau ada faktor lain – mendirikan solat Jumaat.

Atau, jadikan mana-mana surau lokasi solat tanpa dos penggalak dengan SOP yang lain. Apa yang penting mereka sudah ada dua dos atau mungkin syarat itu dilonggar lagi bagi yang mempunyai alasan kukuh tidak mengambil sebarang dos.

Jangan jadikan dos penggalak sebagai penghalang untuk mendirikan solat Jumaat.

Related posts

Leave a Comment