18,597 kes baharu di Singapura

SINGAPURA 25 Feb. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 18,597 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini, naik empat kes berbanding 18,593 yang dilaporkan semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 18,383 adalah jangkitan tempatan dan 214 lagi kes import menjadikan jumlah keseluruhan 679,795 kes.

Sebanyak 11 kes kematian dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 986 orang telah meninggal dunia.

Jumlah kes baharu Protokol 2 pula adalah 15,411, terdiri daripada 98 kes import dan 15,313 jangkitan tempatan.

Protokol 2 adalah pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Sebanyak 3,186 kes lagi disahkan menerusi ujian PCR di mana 3,070 adalah jangkitan tempatan manakala 116 adalah kes import.

Menurut MoH, kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula adalah 1.26, merosot daripada 1.37 pada Khamis (24 Februari ).

Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar melebihi 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baharu Covid-19 masih meningkat.

Sementara itu, seramai 1,584 pesakit masih dirawat di hospital, jatuh sedikit berbanding 1,587 semalam di mana 211 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa dan 46 dipantau rapi di ICU manakala 25,327 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Setakat semalam , 94 peratus penduduk Singapura yang layak sudah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah program vaksinasi nasional.

Related posts

Leave a Comment