Tarikh akhir penggalak Sinovac 31 Mac

PUTRAJAYA 24 Feb. – Kementerian Kesihatan (KKM) melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak sehingga 31 Mac ini kepada individu yang menerima vaksin jenis Sinovac, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, penerima vaksin Sinovac yang berusia 60 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status lengkap dalam MySejahtera sebelum 1 April ini.

Sebelum ini KKM memutuskan mana-mana individu berusia 60 tahun ke atas yang menerima vaksin jenis Sinovac perlu mendapatkan dos penggalak sebelum 28 Februari tetapi dilanjutkan sehingga 31 Mac.

“Penerima vaksin Sinovac yang berusia 60 tahun ke atas perlu dapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status lengkap dalam MySejahtera.

“Jadi bermula 1 April ini, sekiranya mereka masih belum mendapatkan dos penggalak berkenaan status vaksinasi lengkap golongan ini akan ditukar sebagai tidak lengkap dalam MySejahtera,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu beliau juga memberitahu, KKM akan mempertimbangkan cadangan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk menggunakan stok vaksin sedia ada dalam simpanan pihaknya untuk diberikan kepada negara luar.

Bagaimanapun negara penerima belum dimuktamadkan.

“Saya melalui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menerima laporan setiap minggu berkaitan stok vaksin berkenaan, termasuklah berkaitan tarikh luput.

“Kita tidak pernah buang vaksin berkenaan, semuanya digunakan sebelum tarikh luput. Sekiranya perlu, kita akan membuat sumbangan ke negara luar seperti Bangladesh dan Laos,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Malaysia mungkin akan ‘membuang’ hampir setengah juta dos vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca-Oxford yang akan tamat tempoh pada Mei ini.

Related posts

Leave a Comment