Malaysia catat angka tertinggi

PUTRAJAYA 24 Feb. – Kes Covid-19 di negara ini melonjak melebihi 30,000 apabila 31,199 kes baharu dilaporkan semalam, berbanding 27,179 kelmarin sekali gus menjadi angka tertinggi pernah dicatatkan sejak virus berkenaan dikesan.

Kes tertinggi pernah dilaporkan di negara ini adalah pada 19 Februari lalu dengan 28,825 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataannya berkata sejumlah 31,080 kes adalah penularan tempatan dengan 119 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Daripada jumlah itu sejumlah 99.38 peratus atau 31,005 kes adalah pesakit kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

“Sementara 194 kes iaitu 0.62 peratus adalah pesakit dalam kategori tiga hingga lima yang mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

Perkembangan itu menjadikan sehingga kini jumlah keseluruhan individu yang pernah dijangkiti virus berkenaan kini meningkat kepada 3,305,157 kes.

Pesakit dalam kategori dua mencatatkan jumlah tertinggi dengan 20,834 kes atau 66.78 peratus, diikuti kategori satu 10,171 kes (32.60 peratus), kategori tiga (102 kes) dan masing-masing 46 kes dalam kategori empat dan lima.

Bagi pesakit Covid-19 dalam kategori tiga hingga lima, sebanyak 153 kes atau 78.87 peratus adalah dalam kalangan mereka yang belum mendapatkan vaksinasi atau belum lengkap divaksinasi atau sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak.

Selain itu 92 kes (47.42 peratus) adalah dalam kalangan individu berusia 60 tahun dan keatas, mempunyai komorbid (91 kes), sudah menerima dos penggalak (41 kes) dan ibu mengandung (tiga kes).

Menurut Dr Noor Hisham,  sehingga kini terdapat 305 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 118 kes disahkan Covid-19 dengan 187 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi pesakit Covid-19 yang berada dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat sebanyak 191 kes iaitu 72 daripadanya sudah disahkan Covid-19 serta 119 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Mengenai kluster, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 14 kluster penularan Covid-19, sekali gus menjadikan sehingga kini terdapat 506 kluster yang masih aktif manakala terdapat 20,399 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes sudah pulih sebanyak 2,994,840.

Related posts

Leave a Comment