5 negeri guna katil ICU lebih 50 peratus

PUTRAJAYA 24 Feb. – Lima negeri mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Kelantan mendahului dengan mencecah 83 peratus, tertinggi direkodkan setakat ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (65 peratus), Johor (65 peratus), Melaka (58 peratus) dan Perlis (55 peratus).

Bagi katil bukan ICU, terdapat tiga negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 90 peratus iaitu di Kelantan (101 peratus), Selangor (97 peratus) dan Perak (90 peratus).

Bagi katil bukan ICU melebihi 50 peratus direkodkan di Kuala Lumpur iaitu 87 peratus, Perlis (81 peratus), Putrajaya (77 peratus), Johor (75 peratus), Pahang (71 peratus), Sabah (71 peratus), Pulau Pinang (52 peratus), Terengganu (52 peratus) dan Sarawak (52 peratus).

Menurutnya, tiga negeri iaitu Perak (74 peratus), Melaka (60 peratus) dan Selangor (54 peratus) menunjukkan pengisian lebih 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 191 pesakit.

Peratusan penggunaan bantuan itu 36 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes jangkitan kategori 1 hingga 5 yang baru didiagnosa pada setiap hari.

Katanya, ia memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

Pesakit ketika didiagnosa mungkin berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital, namun status pesakit boleh merosot ke kategori 3 atau lebih yang memerlukan kemasukan ke hospital.

Pada masa sama, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Related posts

Leave a Comment