Thailand kekal 18,000 kes sehari

BANGKOK 20 Feb. – Thailand merekodkan 18,953 kes jangkitan Covid-19 dengan 30 orang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam berbanding 18,885 kes dan 29 kematian yang direkodkan semalam.

Ini adalah hari ketiga berturut-turut Thailand merekodkan lebih 18,000 kes sehari.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, daripada jumlah itu, 18,770 adalah kes tempatan manakala 183 kes import.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) merekodkan Bangkok mendahului kes harian dengan 2,690 kes diikuti Samut Prakan 975, Chon Buri 828, Nakhon Si Thammarat 810, Nonthaburi 762 dan Phuket 549.

Pelawat dari Rusia dan Myanmar adalah antara kes import yang dilaporkan manakala semua kematian melibatkan warga negara Thailand.

Semalam, sebanyak 13,962 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan 2,527,231 orang pulih.

Sebanyak 162,460 orang mendapatkan rawatan di hospital termasuk 747 yang berada dalam keadaan kritikal dan 189 bergantung kepada ventilator.

Sejak pandemik itu bermula awal tahun 2020, terdapat 2,712,315 kes Covid-19 termasuk 488,880 kes tahun ini dengan 2,527,231 dilaporkan sembuh.

Untuk rekod, kes harian tertinggi pernah direkodkan adalah 23,418 pada 18 Ogos dan 312 kematian pada 13 Ogos 2021.

Related posts

Leave a Comment