PKR selesai senarai 20 calon

JOHOR BAHRU 20 Feb. –  Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai mengumumkan senarai 20 calon untuk 20 daripada 56 kerusi yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac depan.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan tujuh calon terakhir parti itu pada satu majlis di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru, Pasir Gudang.

Mereka adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Khairuddin A Rahim, yang dicalonkan bertanding di kerusi DUN Rengit.

Turut diumum sebagai calon ialah Naib Ketua Wanita PKR Johor Haryati Abu Nasir, yang akan bertanding di kerusi Semarang; Haniff @ Ghazali Hosman (Benut); Mohd Zaiful Bakri (Kukup); Rosman Tahir (Tanjung Surat) dan Zulinah A Johari (Tenggaroh).

PKR turut menampilkan Omar Mokhtar A Manap, calon termuda parti berkenaan berusia 29 tahun, yang akan bertanding di kerusi Johor Lama.

Khairuddin, 62, sebelum ini pernah bertanding mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU14).

Pada PRU14 lepas, PKR yang bertanding 12 kerusi memenangi lima kerusi iaitu Bukit Naning, Pemanis, Semerah, Bukit Batu dan Tiram.

Bagaimanapun, komposisi kerusi DUN yang dipegang mereka berubah apabila penyandang kerusi DUN Pemanis Dr Chong Fat Full mengumumkan keluar parti pada Mac 2020 manakala tiga penyandang kerusi daripada Amanah iaitu Muhamad Said Jonit (Mahkota), Khairuddin (Senggarang) dan Dr Faizul Amri Adnan (Serom), mengumumkan menyertai PKR pada Feb 2021, menjadikan kerusi PKR sebelum PRN Johor adalah tujuh.

Related posts

Leave a Comment