Risiko kanak-kanak dijangkiti Covid-19

PUTRAJAYA 20 Feb. – Kanak-kanak bawah 18 tahun yang dijangkiti Covid-19 boleh mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) iaitu keadaan kritikal yang boleh berlaku apabila terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan Covid-19 dengan mereka yang berusia bawah setahun melibatkan 24 kes, 1 hingga bawah 5 tahun (38 kes), 5 hingga bawah 9 tahun (64 kes), 9 hingga bawah 12 tahun (36 kes) dan 12 tahun ke atas (11 kes).

Dalam kenyataannya, beliau berkata, sehingga kini, tujuh kes (4 peratus) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan Covid-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-Covid (sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan).

Beliau berkata, kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti.

Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti, beliau berkata antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko berkenaan adalah dengan kawalan kendiri dan vaksinasi.

Dr Noor Hisham berkata vaksin Covid-19 Comirnaty(R) (Pfizer-BioNTech) telah diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia dan daripada kajian klinikal, keberkesanannya adalah sebanyak 91 peratus serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit Covid-19.

Beliau berkata pola penggunaan katil harian pesakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun semakin meningkat berikutan kenaikan kes jangkitan virus itu di dalam negara dengan peningkatan dilihat lebih ketara pada Februari 2022 terutama bagi kategori dua hingga lima.

Katanya, bermula awal Januari hingga pertengahan Februari 2022, bilangan kanak-kanak bawah 12 tahun yang dijangkiti Covid-19 adalah seramai 50,826 orang.

Related posts

Leave a Comment