Brunei Darussalam lapor 1,926 kes

BERAKAS 19 Feb. – Selepas merekodkan hampir 3,000 kes jangkitan harian Covid-19 semalam, jumlah itu turun hari ini kepada 1,926 yang membawa kepada jumlah keseluruhan 32,513 kes.

Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, jumlah kes baharu Brunei Darussalam itu adalah hasil daripada 1,230 ujian ART yang dimuatnaik ke portal dan 696 daripada 3,366 jumlah ujian makmal dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada sidang media situasi Covid-19 hari ini, beliau memberitahu terdapat dua kes dalam Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi.

Dua lagi kes dalam Kategori 5, memerlukan bantuan mesin pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Menjawab soalan wartawan, beliau berkata kenaikan mendadak kes adalah berikutan kesedaran masyarakat melakukan Ujian Pantas Antigen (ART).

Katanya, sebanyak 294 pesakit dilaporkan sembuh hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan 19,042 manakala jumlah kes aktif pula meningkat kepada 13,362 berbanding 11,731 semalam.

Beliau memberitahu sebanyak 13,047 kes positif sedang menjalani pengasingan diri di rumah manakala kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ pula adalah sebanyak 9.1 peratus.

Kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ pula adalah sebanyak 9.1 peratus.

Sehingga semalam, 18 Februari, pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan bagi mereka yang menerima tiga dos vaksin ialah 50.0 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini.

 Manakala kadar yang menerima satu dos adalah 94.9 peratus dan 94.1 peratus yang mendapat dua dos.

Related posts

Leave a Comment