Sabah catat 5,359 kes positif

KOTA KINABALU 19 Feb. – Penularan jangkitan dalam komuniti bagi beberapa daerah di Sabah menyumbang kepada kes positif di negeri itu melebihi 5,000 kes hari ini, kata jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan Covid-19, Masidi Manjun.

Beliau berkata, 5,359 kes dicatatkan hari ini dengan Kota Kinabalu menyumbang kepada angka tertinggi iaitu 1,362.

Menurut Masidi, daripada 5,359 jangkitan baharu hari ini, 5,341 pesakit atau 99.66 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2, sembilan (9) orang dalam Kategori 3, empat (4) orang dalam Kategori 4 dan lima (5) orang dalam Kategori 5.

Katanya, 12 daerah merekodkan tiga digit iaitu Penampang (583); Tuaran (494); Putatan (457); Papar (293); Lahad Datu (244); Tawau (243); Beaufort (233); Sandakan (207); Kota Belud (203); Keningau (166); Kota Marudu (150) dan Ranau (147).

Daerah yang mencatat jumlah kes harian yang tinggi juga sinonim dengan peratusan jangkitan sporadik yang tinggi.

Peratusan jangkitan sporadik di Kota Kinabalu hampir 62.5 peratus daripada jumlah kes baharu, Penampang 64.1 peratus;  Tuaran (56.3 peratus), Putatan (75.5 peratus).

“Kita boleh simpulkan bahawa jumlah kes harian yang tinggi setiap hari berpunca daripada jangkitan dalam komuniti yang sukar dibendung lantaran tidak diketahui punca dan tempat jangkitan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, jumlah kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang dijangkiti Covid-19 kekal tinggi iaitu 673 orang.

Daripada jumlah itu, katanya, 283 daripada mereka di bawah umur 5 tahun yang belum layak diberi vaksin, 390 orang lagi berumur antara 5 – 11 tahun yang belum menerima vaksin walaupun sudah layak memperolehinya.

Kedua kumpulan ini merupakan 12.56 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sabah hari ini.

Justeru, beliau menyarankan agar ibu bapa membawa anak-anak mereka yang sudah layak divaksin untuk mendapatkan vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan atau kesan jangkitan yang lebih serius.

Di samping itu katanya, cara terbaik untuk mengelak terdedah kepada jangkitan ialah mengelak kawasan sesak selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Related posts

Leave a Comment