Laos vaksin kanak-kanak Mac

VIENTIANE: Kerajaan Laos akan mula melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 11 tahun mulai Mac ini dalam usaha menjamin keselamatan pelajar selaras dengan pembukaan semula sesi persekolahan.

Menurut media tempatan, Timbalan Pengurus Program Imunisasi Kebangsaan, Chansai Pathammavong berkata, sejumlah 957,000 kanak-kanak akan menerima vaksin, dengan harapan dapat menggalakkan ahli keluarga lain berbuat demikian.

Pemberian vaksin berkenaan akan bermula di Vientiane, tetapi wilayah lain yang sudah bersedia melancarkan program itu boleh meneruskan imunisasi. Hanya yang mendapat kebenaran ibu bapa dan penjaga akan diberi suntikan.

Kementerian Kesihatan akan merangka pelan vaksinasi manakala Kementerian Pendidikan dan Sukan pula mempromosikan mengenai kepentingan vaksinasi kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan dan pegawai kesihatan mengkaji kemajuan dalam pemberian vaksin dalam kalangan remaja berumur 12 hingga 17 tahun dan memastikan suntikan diberikan kepada mereka yang masih belum menerimanya.

Setakat ini, 65.74 peratus daripada rakyatnya telah menerima suntikan pertama, manakala 57.86 peratus telah lengkap dua dos suntikan vaksin.

Related posts

Leave a Comment