‘10 pagi esok, bukan lagi 3 petang’

PUTRAJAYA 17 Feb. – Nombor masih ada cuma tunggu 10 pagi keesokannya bagi ‘mengurangkan kegerunan’. Begitu penjelasan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berhubung laporan statistik kes harian Covid-19.

Mulai esok, pelaporan statistik kes harian Covid-19 tidak akan dikeluarkan lagi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebaliknya maklumat itu akan dimuat naik bersekali data lain pada pukul 10 pagi keesokannya.

“Ini bertujuan kita dapat membaca data kes harian bersama data lain seperti kemasukan ke hospital untuk kita mengurangkan ‘fear factor’ (kegerunan) kes harian setiap hari.

“Ini adalah perubahan budaya bagi kita, jangan tunggu jam 3 untuk kenyataan media Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya.

Menurut Khairy, bilangan kes harian itu perlu dibaca dengan data lain bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung dengan keadaan semasa.

Beliau berkata, ia secara perlahan mendidik masyarakat untuk berubah daripada hanya melihat kes harian kepada data secara keseluruhan yang menurut beliau turut dilakukan di negara lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut meminta majikan memberi pelepasan pekerja membawa anak mereka mendapatkan vaksin.

Beliau berkata, janji temu itu boleh dilihat melalui aplikasi MySejahtera.

“Ini kita tidak boleh paksa, tapi kita meminta kerjasama daripada majikan untuk memberi kebenaran supaya pekerja membawa akan mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya.

Khairy turut meminta majikan mengelak mesyuarat, perjumpaan atau urusan dengan pekerja dilakukan secara fizikal sebaliknya disaran mengamalkan bekerja dari rumah (BDR).

Katanya, biarpun KKM yakin negara akan dapat mengharungi gelombang Omicron, tetapi semua pihak perlu memastikan perkembangan kes positif baharu diperlahankan.

Related posts

Leave a Comment