518 kanak-kanak Sabah dijangkiti

KOTA KINABALU 14 Feb. – Sebanyak 518 kanak-kanak dengan 33 kes daripadanya melibatkan bayi dijangkiti Covid-19 di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata sebanyak 156 kes melibatkan kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun manakala 329 lagi kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun dengan kesemua mereka masih belum menerima vaksin Covid-19.

Justeru beliau menyarankan agar para ibu bapa dan pengurusan sekolah mengambil langkah perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan ke atas anak-anak kecil terutama yang belum layak diberi vaksin.

Dalam kenyataannya malam tadi, Masidi berkata lima daerah mencatat kes tertinggi semalam iaitu Kota Kinabalu dengan 914 kes, Sandakan (478), Tuaran (414), Penampang (389) dan Papar (256).

Katanya, kes jangkitan secara sporadik dikesan menerusi saringan bergejala menjadi faktor dan penentu utama jumlah kes di daerah-daerah yang mencatat kes harian yang tinggi dengan 58.52 peratus daripada kes hari ini dikesan menerusi saringan tersebut.

“Kita boleh rumuskan bahawa peratusan jangkitan secara sporadik yang tinggi adalah penyebab kepada perebakan virus yang begitu cepat dan meluas serta akan menjadi faktor penentu kepadajumlah kes baharu dalam masa terdekat,” katanya.

Masidi berkata 3,891 kes Covid-19 dengan lima kes kematian akibat pandemik itu direkodkan hari ini manakala 620 orang sembuh dan 2,776 pesakit sedang menerima rawatan.

Dengan perkembangan ini, jumlah  kumulatif kes di Sabah meningkat kepada 274,260 kes.

Katanya, 99.74% atau 3,881 daripada 3,891 pesakit adalah dalam Kategori 1 dan 2; empat (4) pesakit dalam Kategori 3, empat (4) dalam Kategori 4 dan dua (2) orang dalam Kategori 5.

Related posts

Leave a Comment