Singapura catat 9,930 kes baharu

SINGAPURA 12 Feb. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 9,930 kes baharu Covid-19 dan tiga meninggal dunia di Singapura hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 449,570 dan 885 kematian.

Daripada jumlah kes harian itu, sebanyak 9,771 adalah jangkitan tempatan dan 159 lagi kes import.

Menurut MoH, sebanyak 7,729 adalah kes baharu Protokol 2 yang terdiri daripada 50 kes import dan 7,679 jangkitan tempatan.

Protokol 2 adalah pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Sebanyak 2,201 kes disahkan menerusi ujian PCR. 2,092 adalah jangkitan tempatan manakala 109 adalah kes import.

Sementara itu, sebanyak 1,205 pesakit masih dirawat di hospital, di mana 128 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa manakala 21 dipantau rapi di ICU.

Mengenai vaksinasi, setakat Selasa, sebanyak 93 peratus penduduk Singapura yang layak sudah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah program vaksinasi nasional.

Related posts

Leave a Comment