Menang dulu, calon MB kemudian

JOHOR BAHRU 11 Feb. – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu memberi tumpuan penuh memenangkan calonnya terlebih dahulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti sebelum menamakan calon Menteri Besarnya.

Presidennya,  Mukhriz Mahathir, berkata menamakan calon Menteri Besar bukanlah keutamaan parti ketika ini, sebaliknya strategi terbaik untuk meyakinkan pengundi terhadap Pejuang adalah lebih penting.

“Tidak ada gunanya kita menamakan seorang calon Menteri Besar tapi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan. Itulah yang berlaku kepada Pakatan Harapan (PH) pada November lalu (PRN Melaka) dan kita tidak mahu ulangi kesilapan sama.

Apa yang penting ialah kita dapat meyakinkan pengundi di seluruh Johor supaya calon Pejuang perlu diberikan peluang, selepas itu, barulah kita pilih dalam kalangan mereka apabila tiba masanya nanti,” katanya selepas pelancaran jentera Pejuang untuk PRN Johor, di sini, malam tadi.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun meminta ahli dan jentera Pejuang pada PRN Johor supaya berusaha gigih dan bersemangat dalam menyakinkan pengundi bahawa matlamat parti yang mahu mewujudkan kerajaan negeri yang bersih, cekap, amanah dan berintegriti.

Beliau berkata, ada yang memandang rendah, bahawa parti itu tidak akan mampu menggugat kedudukan parti lain yang sudah lama bertapak di Johor malahan ada yang berkata riwayat Pejuang akan tamat dan terkubur pada PRN Johor.

“Ada yang mengatakan Pejuang hanya parti serpihan dan mana mungkin Pejuang mampu bersaing dengan parti yang dilahirkan di sini.

“Jika ini yang tertanam dalam benak fikiran tuan-tuan, maka ia akan menjadi realiti nanti namun jika kita berusaha gigih dan bekerja keras bagi mewujudkan Johor yang lebih aman dan makmur, kerajaan yang bersih, cekap dan amanah, maka pengundi juga akan meyakini kita untuk melakukan perubahan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment