Tiada lagi ‘total lockdown’

BATU PAHAT 8 Feb. – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali, memberi jaminan tiada lagi ‘total lockdown’ walaupun negara berdepan peningkatan kes Covid-19.

Katanya , sekatan pergerakan sepenuhnya itu tidak boleh dilaksanakan semula kerana akan memberi kesan amat besar terhadap ekonomi rakyat dan negara.

“Saya sudah memberitahu dan kementerian pun sudah memaklumkan pendirian kerajaan hari ini. Kita mesti bertindak mengikut data dan sains.

“Mungkin pada peringkat awal dulu, kita tiada pengalaman dan tidak cukup data untuk bertindak. Namun sekarang sudah dua tahun. Kita tidak boleh tanggung untuk melaksanakan ‘total lockdown’,” katanya.

Beliau berkata, kesan terhadap pekerjaan amat besar di mana dalam tempoh tiga bulan pertama PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) penuh pada 2020, kadar pengangguran naik kepada 5.3 peratus dengan kira-kira 826,000 hilang pekerjaan.

Apabila seorang pekerja hilang pekerjaan, kesannya akan turut membabitkan sebuah keluarganya yang mungkin ada empat atau lima orang.

“Jika didarab, hampir 5 juta rakyat Malaysia tiada pendapatan dan tidak mampu meletakkan makanan di atas meja untuk keluarga mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat, di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin berkata, sekiranya ada peningkatan mendadak kes Covid-19, kerajaan akan mengambil pendekatan menangani secara bersasar.

“Pandemik adalah sesuatu yang perlu kita uruskan dengan efektif. Bagi soal kesihatan, kita akan usahakan yang terbaik. Namun, aspek kesihatan ekonomi juga penting. Inilah tanggungjawab kita untuk memastikan keseimbangan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment